Kamis, 11 Maret 2010

PANDUAN HIDUP

PANDUAN HIDUP

" Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu
menyuruh isterinya.

Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk
dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap
dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya
untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu
membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat
pula kembali sesudah selesai sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu
itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun
tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya,
"Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk
Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah
menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."
Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa
sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas
soalan itu dijawab dengan agak mentar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah
diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya
alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman
tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan
lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda
dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada
tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar
yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah
selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan
menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar
seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang
sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya.
Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti
sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu
kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya
tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan,
kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan
lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi
Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku
sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini
sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua
yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh
seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya.

Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si
Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah
sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.
Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab
untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam
keseorangan.

Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi
berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan
pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila
ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah
dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda
dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba?
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."

" orang yang apabila di sebut nama Allah, maka akan gementarlah hati mereka,
dan apabila di sebut ayat-ayat Allah, maka akan bertambah lah iman mereka" -
Ayatul Quran

wassalam.....RasulAllah....aku mencintaimu.....

-- 
Sesungguhnya...
Dari Dia Kita Datang..
Dari Dia Juga Kita Kembali

Tidak ada komentar:

Posting Komentar