Sabtu, 27 Maret 2010

PERISTISWA PENTING DARI SURAH AL FATH

PERISTISWA PENTING DARI SURAH AL FATH

Mesej Al-Quran merupakan kewajipan asasi bagi setiap muslim untuk diterokai, difahami dan seterusnya diamali didalam hidup ini. Mesej Al-Quran kaya dengan fakta sejarah yang sebenar (Hak) dan lain-lain.

Risalah ini memaparkan fakta sejarah yang diterokai dari “Surah Al-Fath” untuk dimanafaatkan oleh pembaca sekalian dalam usaha menambahkan lagi ilmu pengetahuan.

PERISTISWA PENTING DARI SURAH AL FATH DILIHAT DARI SUDUT SEJARAH

BAAH AR-RIDHWAN

Mengikut ahli sejarah Islam diantaranya Ibn Athir yang mencatit di dalam kitabnya Al-Kamil Fi At-tarikh , Jilid 2, Hlm 86-87 Rasulullah SAW telah keluar dari Madinah berangkat ke Mekah bersama-sama dengan sahabatnya dari kaum Muhajirin, Ansor dan kabilah-kabilah arab lain seramai 1400 orang. Iaitu pada bulan Zulhijjah dengan tujuan untuk mengerjakan ibadat umarah. Baginda membawa bersamanya 70 ekor unta untuk korban.

Rombongan Nabi SAW ini berjalan dan sam[ai di Al-Hudaibiyah kemudian berhenti di situ. Mengikut ahli sejarah Islam, Ibn Hisyam yang tercatit di dalam kitabnya ; Sirah Nabi, Jilid 3 , Hlm 365-367, Rasulullah SAW telah berusaha untuk memberitahu kepada orang-orang Quraisy di Mekah itu bahawa kedatangan baginda bersama rombongannya untuk menziarah rumah suci Kaabah dan bukan untuk berperang.

Baginda telah memanggil Saidina Umar Al-Kattab untuk membawa pesanan baginda kepada orang-orang Quraisy itu maka jawab Saidina Umar : “Wahai Rasulullah SAW, saya khuatir orang-orang Quraisy akan mengambil tindakan ke atas saya. Kerana tidak ada di Mekah ini Bani Adi bin Kaab yang akan melindungi saya.

Orang Quraisy amat tahu bahawa saya memusuhi dan bertindak ke atas mereka. Oleh itu saya cadangkan lelaki yang lebih layak membawa pesanan ini ialah Saidina Othman bin Affan. Maka Rasulullah SAW menjemput Saidina Othman dan memberi pesanan itu.

Saidina Othman pergi ke Mekah. Apabila ke Mekah beliau berjumpa dengan Aban bin Said bn Al-Ass untuk meminta perlindungan (Jiwa) ketika menjalankan tugas itu. Selepas itu Saidina Othman berjumpa dengan Abu Sufian dan pembesar-pembesar Quraisy yang lain serta menyampaikan pesanan Rasulullah SAW itu.

Setelah selesai Saidina Othman menyampaikan pesanan tersebut maka kata Abu Sufian : “Jika kamu ingin tawaf maka tawaflah”. Maka kata Saidina Othman : “Aku tidak akan tawaf sebelum Rasulullah SAW tawaf”.

Dalam suasana demikian tersebarlah berita bahawa Othman telah dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka berita itu sampai kepada Rasulullah SAW dan pengikutnya. Mengikut ahli tafsir Abi Jaafar Muhammad bin Jurair At-Tabari di dalam kitabnya , Jami Al-bayan Juzu 26, Hlm 85-86 : Rasulullah SAW memanggil semua pengikut-pengikutnya mengadakan baiah Ar-Ridhwan di bawah pohon kayu yang bernama Samrah.

Mengikut ahli tafsir Abi Abdullah bin Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi di dalam kitabnya, Al-Jami Al-Ahkam Al-Quran, Juzu 6 Hlm 274-275 : Orang Islam yang melakukan Baiah Ridhwan itu seramai 1,400 atau 1,500 orang semuanya menyahut persetiaan tersebut.

Mengikut ahli tafsir Ibnu Khathir di dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Juzu’ 4 , Hlm 186-188 Rasulullah SAW telah menepuk dua tangan baginda dengan menyeru :

“البيعة , البيعة , اللهم إن عثمان في حاجة الله وحاجة رسول الله له ,

Kamu adalah sebaik-baik manusia di muka Bumi Hari ini, tidak dimasukkan ke dalam Neraka seorang pun mereka yang membuat baiah di bawah pohon ini.”

Berita Rasulullah SAW membuat bai’ah Ar-ridhwan itu sampai kepada orang-orang musyrikin Quraisy. Maka mereka itu amat gerun dengan perpaduan orang Islam yang menyokong Rasulullah SAW yang tidak berbelah bagi lagi.

PERJANJIAN DAMAI HUDAIBIYAH

Mengikut ahli sejarah Islam, Ibnu Hisyam di dalam kitabnya Sirah An-nabi, Jilid 3 , halaman 365-367 kata Ibnu Ishak kata Az-zuhri orang musyrikin Quraisy telah mengutus Suhail bin Amru supaya berjumpa dengan Rasulullah SAW dengan membawa pesanan seperti ini “Datanglah kamu menemui Muhammad, adakan perjanjian damai (as-sulh). Dalam perjanjian damai itu hendaklah dimasukkan butiran-butiran ini”. Pda tahun ini hendaklah dia pulang, demi Allah janganlah dikalangan orang-orang arab bercakap mengatakan bahawa dia berhasil masuk ke tempat ini (mekah) dengan kekerasan”.

Suhail bin Amru datang berunding dengan Rasulullah SAW dengan panjang lebar untuk mendapatkan natijah yang baik daripada perdamaian itu. Rasulullah SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Tholib sebagai penulis perjanjian damai Hudaibiyah itu. Orang-orang musyrikin dan muslimin sama-sama menyaksi perjanjian tersebut.

Nabi SAW menyuruh Saidina Ali menulis Bismillahi Ar-Rahmani Ar-Rahim, maka kata Suhail, berhenti !, Aku tidak kenal “Ar-Rahman Ar-Rahim”. Tulislah Bismikallahumma maka baginda Rasulullah menyuruh Saidina Ali menulis Bismikallahumma.

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh Saidina Ali menulis inilah perjanjian damai di antara Muhammad Rasulullah SAW. Kata orang-orang musyrikin Quraisy, berhenti ! Dan sapu perkataan Muhammad Rasulullah SAW. Jika kami mengakui kamu Rasulullah SAW maka tentu kami tidak memerangi kamu. Sapu olehmu perkataan Rasulullah SAW. Maka Saidina Ali tidak mahu menyapu perkataan Rasulullah.

Mengikut ahli ilmu hadis Muhammad Fuad Abdul Baqi di dalam kitabnya, Al-Lu’lu’ wal Marjan, jilid 2, halaman 244, Rasulullah SAW sendiri menyapu tulisan perkataan Rasulullah SAW dengan tangan baginda sendiri. Kata Suhail tulislah nama kamu dan nama bapa kamu.

Maka baginda Rasul menyuruh Saidina Ali menulis inilah perjanjian damai di antara Muhammad bin Abdullah dengan Suhail bin Amru yang mana isi perjanjian itu adalah seperti berikut :

Pertama : Gencatan senjata selama sepuluh tahun.

Kedua : Jika mana-mana orang Quraisy menyerah kepada Muhammad tanpa izin walinya maka hendaklah dikembalikan kepada wali mereka.

Ketiga : Mana-mana orang Islam pengikut Muhammad menyerah kepada orang-orang Quraisy tidak dikembalikan.

Keempat : Mana-mana dari masyarakat Arab yang ingin mengadakan perjanjian dengan orang Quraisy atau dengan Muhammad dibolehkan.

Kelima : Kita tidak boleh serang menyerang, curi mencuri dan khianat mengkhianati di antara satu sama lain.

Keenam : Tahun ini Muhammad dan pengikutnya hendaklah pulang meninggalkan Mekah menakalah tahun berikutnya boleh memasuki Mekah selama tiga hari. Tidak dibenarkan membawa pedang kecuali pedang yang berada di dalam sarung sahaja.

Mengikut ahli sirah, Abu Hasan Ali Al-Husni An-Nadawi di dalam kitabnya As-Sirah An-Nabawiah halaman 279 setelah selesai perjanjian damai hudaibiyah itu disempurnakan maka Rasulullah SAW berkorban menyembelih unta dan bercukur kepala baginda kemudian diikuti oleh semua pengikut-pengikut Rasulullah SAW.

Para sahabat Rasulullah SAW tidak puas hati dengan isi kandungan perjanjian damai hudaibiyah.

Para sahabat Rasulullah SAW tidak puas hati dengan isi kandungan perjanjian damai hudaibiyah itu kerana dirasakan merugikan umat Islam di samping melihat orang-orang musyrikin Quraisy telah meletakkan syarat yang begitu ketat. Manakala sahabat Rasulullah SAW yang sangat tidak puas hati mengenai perjanjian ini ialah Saidina Umar Al-Khattab. Beliau telah menemui Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan berbincang dengan percakapan dialog seperti berikut :

Saidina Umar Al-Khattab : Hai Abu Bakar, bukankah dia Rasulullah ?

Saidina Abu Bakar As-Siddiq : Ya memang !.

Saidina Umar Al-Khattab : Bukankah kita ini muslimin ?

Saidina Abu Bakar As-Siddiq : Ya memang !.

Saidina Umar Al-Khattab : Bukankah mereka itu musyrikin ?

Saidina Abu Bakar As-Siddiq : Ya memang !.

Saidina Umar Al-Khattab : Kenapakah kita mahu direndahkan oleh mereka itu dalam soal agama kita.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq : Hai Umar ! Duduklah di tempat kamu, aku bersaksi bahawa dia Rasulullah SAW.

Kemudian Saidina Umar Al-Khattab kembali menemui Rasulullah SAW dan mengulangi semula dialognya dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq tadi dengan nada yang amat kesal, maka Rasulullah SAW menjawab kepada Saidina Umar Al-Khattab dengan sabdanya .” Sesungguhnya aku ini hamba Allah dan Rasul-Nya, aku tidak akan melanggar perintah-Nya dan Dia tidak akan menyesatkan aku !”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada seluruh sahabat-sahabatnya, “Sabarlah kamu sesungguhnya Allah menjadikan perdamaian ini sebagai sebab zahir agama-Nya”.

Kitab-kitab sumber rujukan :

1. Al-Imam Nasiruddin Abul Khair Abdullah As-Syairazi Al-Baidhowi, tafsir Al-Bisyari, Halaman 677-678.
2. Al-’Alamah As-Syeikh Ahmad As-Sowi Al-Maliki, Hasyiah As-Sowi ‘ala Tafsir Al-Jalalain, Juz 5, halaman 465.
3. Al-Imam ‘Alauddin Ali bin Muhammad bin Ibrahim Al-Baghdadi, tafsir Al-Khazin, Juz 4, halaman 144-147.
4. Al-Kurtubi, Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, Juz 16, Halaman 216-275.
5. At-Tabari, Jami’ul Bayan, Juz 26, Halaman 85-86.
6. Al-Maraghi, Tafsir Al-Maraghi, Juz 16, Halaman 101.
7. Ibnu Kathir, tafsir Al-Quran al-’Azim, Juz 4, Halaman 186-188.
8. Al-Bukhari, Al-Jami’ As-Sohih, Fi Bab, Syurut fi Al-Jihad.
9. Muslim, Sohih Muslim, Kitab Al-Jihad Wa As-Sir, Bab Al-Sulh Al-hudaibiyah.
10. Abu Hassan ‘Ali An-Nadawi, As-Sirah An-Nabawiah, Halaman 279.
11. Muhammad Fuad Abdul Baqi, Al-Lu’lu’ wal Marjan, Jilid 2, Halaman 86-87.
12. Ibnu Al-Athir, Al-Kamil fi At-Tarikh, Jilid 2, Halaman 86-87.
13. Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, Zaad Al-Maad, Jilid 1, Halaman 382-383.
14. Ibnu Hisyam, Sirah An-Nabi, Jilid 3, Halaman 363-367.
4 Jenis Hati

1. Hati Hidup dan Sempurna atau selamat Sejahtera – ialah hati yang tenang diselaputi dengan iman dan dipenuhi dengan cahaya.Yakin dan Ikhlas serta dipenuhi dengan cinta kepada Allah SWT. Mencintai apa sahaja yang Allah Cintai serta Redha kepada Allah SWT.
2. Hati Mati- ialah hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan bersifat ganas, seperti rumah yang ditinggalkan dan didiami oleh syaitan, Dipenuhi dengan sifat munafiq, kafir dan maksiat. hatinya adalah seperti hati orang kafir.
3. Hati Sakit- Imannya sentiasa berubah, kadang-kadang menjadi munafiq dan kadang-kadang berminat kepada Islam, Hatinya sentiasa dibelai dengan nafsu, bergelombang dengan fitnah dan tergoda dengan syaitan, ia adalah hati yang terlalu lemah iman.
4. hati yang kosong- apa jua diisi ia tidak membawa apa-apa faedah,tidak mengenal kebaikan dan tidak mengenal kejahatan, apa yang menjadi matlamatnya adalah nafsu semata-mata, inilah hati orang munafiq.
5 Cahaya Ilahi

Hafis Ibnu Hajar R.A dalam Kitab Al-Munabihat menulis Abu Bakar berkata:

Kegelapan adalah lima perkara , Cahaya yang dapat menghilangkan kegelapan tersebut ialah :

1-Orang yang mencintai dunia adalah berada dalam kegelapan cahaya yang dapat menghilang kegelapan tersebut ialah Taqwa kepada Allah Azzawajal.

2-Maksiat adalah kegelapan dan Cahaya yang dapat menghilang dosa maksiat ialah Taubat Nasuha.

3-Kubur adalah Alam Kegelapan, Cahaya yang dapat menerangi Alam Kubur ialah Kalimah La Ila IllAllah ( Tiada Penyembahan dan Ketaatan serta kepatuhan dalam kehidupan manusia dan jin melainkan hanya kepada Allah Azzawajal )

4-Di Alam Akhirat manusia akan hidup dalam serba kegelapan, mereka akan merasa tenang dan cerah apabila Amalan Soleh datang menemani mereka.

5-Kita akan menempuh Sirat Mustaqim dalam keadaan gelap gelita tetapi kita akan merasa tenang menitinya apabila langkah kita ditemani KEYAKINAN kepada Allah semasa hidup di dunia dahulu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar